31 July 2020

1.4 Hukum Tebus Talak

Telah dapat difahami bahawa tebus talak atau khuluk ini merupakan salah satu kaedah pembubaran perkahwinan yang diharuskan oleh syarak. Namun terdapat juga hukum-hukum lain dalam perkara ini bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu.

Mat Saad 2006 menyatakan bahawa perbuatan seorang suami yang menceraikan isterinya melalui kaedah tebus talak atau khuluk merupakan satu perbuatan yang makruh dan tidak digalakkan. Walaubagaimanapun ia menjadi harus sekiranya mempunyai sebab-sebab tertentu yang dibenarkan oleh syarak.

    Terdapat juga sebahagian ulama' yang menyatakan sekiranya seorang suami itu menceraikan isterinya secara tebus talak tanpa mempunyai apa-apa sebab yang diharuskan syarak maka hukumnya adalah haram. Perkara ini bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w:

Abu Kuraib menceritakan kepada kami, Muzahim bin Dzawwad bin Ulbah menceritakan kepada kami dari ayahnya darI Laits dari Abul Khattab dari Abu Zur'ah dari Abu Idris dari Tsauban dari Nabi SAW bersabda: 
"Orang-orang perempuan yang mengajukan gugat cerai (khuluk) mereka adalah perempuan-perempuan munafik (segi lahirnya ia taat, tapi bathinnya durhaka)." 
Hadis ini gharib dari sanad ini dan isnadnya tidak kuat. Dan diriwayatkan dari Nabi saw, bahawasanya Nabi bersabda: 
"Setiap perempuan yang mengajukan gugat cerai  (khuluk)pada suaminya dengan tanpa sebab, maka ia tidak mencium bau-bauan surga."
Kesimpulannya hadis ini memberikan gambaran bahawa perempuan-perempuan yang menawarkan khuluk atau tebus talak kepada suami-suami mereka tanpa ada sebab -sebab yang diharuskan syarak adalah tergolong dari golongan orang-orang yang munafiq.



Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 1197.

1.3.2 Dalil Hadis

Selain dalil daripada ayat al-Quran menerusi surah al-Baqarah terdapat juga beberapa hadis Nabi s.a.w yang menyentuh perihal tebus talak. Terdapat pelbagai periwayatan hadis baginda Nabi s.a.w mengenai tebus talak akan tetapi semuanya berkisarkan kepada kisah isteri Thabit Bin Qais yang ingin menebus dirinya daripada suaminya.

Riwayat dalam Sahih Bukhari:
  • Dari Ibnu 'Abbas r.a., isteri Tsabit bin Qais datang kepada Rasulullah saw. Ia berkata:
"Ya Rasulullah, Tsabit bin Qais saya tidak mencela budi-pekertinya dan agamanya. Saya tidak mahu kafir dalam Islam." Rasul bertanya: "Mahukah engkau mengembalikan kebunnya?" "Mahu," jawabnya. Maka Rasulullah saw. berkata kepada Tsabit: "Ambillah kembali kebunmu dan ceraikanlah ia satu kali." [Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1619]
Riwayat dalam Sunan Ibnu Majah:
  • Mewartakan kepada kami Abu Kuraib, mewartakan kepada kami Abu Khalid Al-Ahmar dari Hajjaj, dari 'Amr bin Syu'aib, dari ayahnya, dari kakeknya, dia berkata: 
Bahwasanya Habibah binti Sahl adalah isteri dari Tsabit bin Qais bin Syammas. Dia adalah lelaki yang pendek lagi jelek. Habibah berkata: Wahai Rasulullah, demi Allah. Kalau tidak kerana takut kepada Allah, bila dia mengunjungi saya, tentu saya akan meludahi wajahnya. Kemudian Rasulullah SAW. bersabda: "Apakah kamu akan mengembalikan perkebunannya kepadanya?" Dia menjawab: "Ya". Selanjutnya perawi berkata: Maka Habibah mengembalikan perkebunannya kepadanya -Tsabit". Selanjutnya, Rasulullah SAW. menceritakan keduanya. Dalam Az-Zawa-id: Dalam isnadnya ada Hajjaj bin Arthah, dia itu mudallis dan mewartakannya dengan cara Muan'an. [Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 2. Hadis Nombor 2057]
  • Mewartakan kepada kami Az-har bin Marwan, mewartakan kepada kami 'Abdul-A'la bin 'Abdul-A'la, mewartakan kepada kami Sa'id bin Abu 'Arubah, dari Qatadah, dari Ikrimah, dari Ibnu 'Abbas, bahawasanya Jamilah binti Salul mendatangi Nabi SAW. Lalu dia berkata: 
"Demi Allah, saya tidak mencela Tsabit dalam beragama, maupun berakhlak. Tapi saya membenci perbuatan kufur dalam agama Islam. Saya tidak mampu untuk memarahinya". Kemudian Nabi SAW. berkata kepadanya: "Apakah kamu akan mengembalikan perkebunannya kepadanya?" Dia menjawab: "Ya". Kemudian Rasulullah SAW. memerintahkan Tsabit untuk mengambil perkebunannya dari Jamilah, dan tidak ada tambahan -sama sekali-. [Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 2. Hadis Nombor 2056]
Ini adalah antara hadis-hadis yang menjadi dalil kepada perlaksanaan tebus talak dalam Islam. Majoriti periwatan adalah berkenaan kisah isteri kepada Tsabit Bin Qais yang datang berjumpa dengan rasulullah s.a.w.
 

1.3.1 Dalil Al-Quran

Setiap sesuatu hukum yang ada di dalam syariat mestilah mempunyai dalil yang tertentu. Begitu juga bagi hukum tebus talak.  Dalil daripada ayat al-Quran yang berkaitan tebus talak telah dinyatakan melalui firman Allah s.w.t di dalam Surah Al- Baqarah ayat 229:
   
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya:  
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
    Secara umumnya ayat ini menyebut berkaitan dengan perihal talak. Dinyatakan bahawa talak yang boleh dirujuk kembali setelah dijatuhkan hanyalah sebanyak dua kali. Seterusnya disebutkan juga bahawa suami tidak boleh mengambil harta yang telah diberikan kepada isterinya setelah diceraikan kecuali dengan sebab-sebab yang tertentu. 

    Di sinilah bahagian yang menyentuh berkaitan dengan keharusan tebus talak. Apabila suami atau isteri itu bimbang atau khuatir tidak dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab seperti yang digariskan syariat maka dibenarkan untuk si suami mengambil bayaran daripada si isteri sebagai balasan untuk dijatuhkan talak kepadanya.

    

1.2 Konsep Tebus Talak

Tebus talak ataupun disebut juga sebagai Khuluk dalam Bahasa Arab merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah yang wujud bagi pembubaran perkahwinan dan ianya adalah diharuskan oleh syarak. Kadang kala kita terdengar ada pasangan yang ingin bercerai namun suami tidak ingin melepaskan secara talak biasa akan tetapi meminta sejumlah bayaran sebagai balasan untuk melafazkan talak.

Contoh situasi, " Bagi abang seribu ringgit baru abang ceraikan awak'' ataupun "pulangkan balik mas kahwin yang abang bagi dulu baru abang ceraikan awak"

Ini merupakan antara contoh lafaz-lafaz yang biasa didengari tetapi kadang kala kita tidak sedar bahawa itulah merupakan salah satu bentuk lafaz perceraian secara tebus talak atau khuluk. Tebus talak ini membolehkan untuk para isteri melepaskan diri mereka daripada ikatan perkahwinan bersama dengan suami melalui beberapa syarat yang tertentu.

Antara syarat yang terkandung di dalamnya ialah, si isteri perlu membayar sesuatu nilai atau menyerahkan sesuatu harta dan boleh juga memulangkan mas kahwin yang diterimanya sebagai  kepada suami sebelum dia bersetuju untuk menjatuhkan talak dan ini merupakan antara syarat yang terpenting.

Situasi khuluk ini sering terjadi apabila si isteri ingin meminta dilepaskan atau diceraikan oleh si suami, namun si suami tidak berhasrat menjatuhkan talak. Tetapi dia bersetuju sekiranya dibayar dengan sesuatu nilai yang disepakati untuk berbuat demikian. Itulah gambaran asas kepada kaedah pembubaran perkahwinan secara tebus talak.

24 July 2020

Rujukan

  1. al-Zuhayli, Wahbah. 1989. al-Fiqh al-Islamiy wa Adilatuhu. Juz 7 Damshik: Dar al-Fikr.
  2. Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1619:


2.1 Rukun Tebus Talak

Rukun tebus talak atau khuluk menurut jumhur ulama selain hanafi ada lima iaitu:
  1. Mujib-Suami yang sah talaknya
  2. Qabil-Isteri yang mempunyai kuasa ke atas hartanya 
  3. I'wadh-Isteri yang masih dalam milikan suaminya, manfaat pun boleh.
  4. Mu'awadh- Balasan yang diperolehi isteri.
  5. Ijab Qabul- Sighah atau lafaz seperti "aku khuluk kan engkau dengan...."

1.1 Pendahuluan

Pernikahan merupakan salah satu ibadah yang di tuntut dalam Islam. Melaksanakan pernikahan juga bererti kita mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Matlamat utama yang ingin dicapai melalui sesebuah perkahwinan adalah pembentukan sebuah keluarga bahagia yang penuh dengan kasih sayang di dalamnya. Melalui perkahwinan juga bilangan umat Islam dapat ditambah seterusnya melahirkan masyarakat yang soleh serta solehah.
     Walaubagaimanapun, dalam melayari sesebuah bahtera rumah tangga akan ada geloranya. Bukan semua perkahwinan itu berakhir dengan keindahan. Pelbagai masalah yang tidak diduga juga boleh terjadi dalam sesebuah perkahwinan. Kadangkala masalah tersebut berjaya diatasi, dan kadangkala ada juga mereka yang gagal menanganinya. Bilamana perkara ini terjadi sudah tentu ia merupakan tempoh yang sukar bagi pasangan yang tidak bernasib baik ini. Apabila sudah menemui jalan buntu untuk menyelamatkan rumah tangga maka selalunya perceraian merupakan jalan yang terakhir.
        Islam sentiasa menyediakan jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah. Bagi sesebuah perkahwinan yang bermasalah apabila sudah tiada lagi jalan penyelesaian untuk berbaik ditemukan maka perceraian adalah sesuatu yang dibenarkan. Hadith Rasulullah S.A.W:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” [Riwayat Ibn Majah. Jil.2. No. 2018]
Menerusi hadith ini dapat difahami bahawa secara dasarnya perceraian itu adalah sesuatu yang dibenarkan. Namun begitu, ia juga merupakan perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah s.w.t.  s.w. Sebolehnya sesebuah perkahwinan yang bermasalah itu perlu dicuba sedaya mungkin untuk diselamatkan sebelum beralih kepada perceraian.
Dalam Islam terdapat beberapa bentuk perceraian yang ada antaranya perceraian menerusi talak, fasakh, ta’liq, li’an dan secara tebus talak. Umum mengetahui bahawa kuasa talak itu adalah terletak pada suami. Namun Islam juga membenarkan untuk seorang isteri meminta untuk diceraikan oleh suaminya iaitu melalui perceraian secara tebus talak.
Perceraian secara tebus talak ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat. Walaubagaimanapun mungkin kes-kes perceraian secara tebus talak seperti ini jarang diketahui menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mengetahui dan memahami dengan jelas berkaitan maksud dan proses-prosesnya di Mahkamah Syariah.
Oleh itu, penulisan ini akan menjelaskan berkaitan definisi dan dalil-dalil serta hukum berkaitan dengan tebus talak, peruntukan dan prosedur undang-undang bagi kes-kes tebus talak di Mahkamah Syariah dan juga kesan-kesannya. Disertakan juga contoh-contoh kes berkaitan tebus talak di Mahkamah Syariah sebagai rujukan pembaca.



Sebuah Catatan Pengalaman

Assalamualaikum W.B.T.
Pertamanya saya zahirkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T di atas terbitnya buku ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapa, para guru, para pengamal undang-undang yang lebih senior kerana membantu saya untuk menyiapkan buku ini.

    Perjalan penglibatan saya dalam bidang undang-undang khususnya berkaitan syariah ini bermula sekitar tahun 2017. Pada ketika itu saya berada di tahun akhir pengajian peringkat Diploma Syariah Islamiyyah di Universiti Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar. Sewaktu itu saya perlu menghantar permohonan untuk menjalani latihan industri ataupun menjadi pelajar praktikal bagi melengkapkan pengajian. Sepanjang 3 tahun pengajian di situ saya tidak mengetahui atau tidak mendapat pendedahan yang cukup berkaitan bidang undang-undang syariah di negara ini. 

    Pada mulanya saya ingin menghantar permohonan untuk latihan industri di sekolah-sekolah dek kerana minat terhadap bidang pengajaran dan secara jujurnya saya tidak mengetahui tentang bidang-bidang lain. Namun di saat-saat akhir sebelum menghantar permohonan tersebut, seorang senior pengajian saya cuba mengusulkan untuk saya menjalani latihan industri di Jabatan Kehakiman Syariah Perak. Beliau memberitahu saya bahawa terdapat pelbagai pengalaman yang tidak semua orang mampu miliki jika memilih untuk menjalani praktikal di sana. Pada ketika itu saya tidak terlalu memikirkannya dan terus menghantar permohonan tersebut kepada Jabatan Kehakiman Syariah Perak dan permohanan tersebut diterima.

    Saya telah diterima untuk menjalani latihan industri di Mahkamah Rendah Syariah Seri Manjung Perak. Hari pertama melapor diri tidak banyak yang dapat dilakukan selain daripada sesi suai kenal bersama para pegawai dan staff di mahkamah tersebut. Seterusnya hari berganti hari, pelbagai skop kerja  cuba saya fahami sebaik mungkin dek kerana tempoh praktikal ini bukanlah lama. Saya perlu ambil segala input dan pengetahuan sepanjang berada di sini.

    Pelbagai kes yang saya dapat lihat sepanjang berada disini. Antaranya kes perceraian, permohonan sijil faraid, kes-kes jenayah syariah dan tak lupa juga kes hadhanah iaitu berkaitan dengan hak penjagaan anak yang mana pasti akan ada kisah sedih dan air mata mengalir disebaliknya. Inilah sebahagian daripada asam garam dalam pahit manis rumah tangga. Kes-kes yang didaftarkan di mahkamah ini pasti akan mengusik jiwa apatah lagi saya adalah seorang pelajar yang masih muda pada ketika itu. Walaupun hanya sekadar pelajar praktikal namun apabila melihat dengan mata dan kepala sendiri situasi kes-kes tersebut, kadangkala tanpa sedar mata saya turut berkaca. 

    Pernah pada suatu ketika ada pasangan yang datang untuk menyelesaikan proses perceraian mereka, namun apa yang membuatkan saya sedikit sebak apabila suami kepada wanita itu datang ke mahkamah dalam keadaan bergari dan memakai baju banduan sambil di iringi oleh warden penjara. Lelaki tersebut hadir dengan rela hati untuk melafazkan cerai kepada isterinya oleh kerana beliau akan ditahan di penjara untuk tempoh yang lama. Namun saat yang paling terkesan bagi saya adalah ketika mana dua orang anak lelaki pasangan tersebut berusia dalam lingkungan 10 dan 13 tahun lengkap berjubah dan beserban putih datang memeluk dan mencium pipi ayah mereka yang dalam keadaan bergari. Pagi itu merupakan pagi yang betul-betul menginsafkan buat saya.

    Di sebalik kes yang memilukan ada juga kes yang berjalan dalam keadaan tegang. Pernah ada satu pasangan muda hadir untuk sebutan bagi kes perceraian. Setelah berjumpa dengan pegawai di dalam biliknya pasangan tersebut keluar dan bergaduh di hadapan kaunter pendaftaran. Mereka turut saling ugut mengugut sehingga terpaksa ditenangkan kedua-duanya oleh polis yang bertugas di mahkamah ini. Tidak pasti apa yang berlaku antara mereka namun situasi itulah juga menjadi sebahagian daripada pengalaman saya sebagai pelajar praktikal.


    Di sinilah tempah saya berlajar bagaimana untuk berkomunikasi dan berurusan dengan orang yang datang dalam berbagai-bagai keadaan emosi sama ada sedih, marah dan tak kurang juga ada yang sombong dan menunjukkan lagak pandai. Di sini juga saya mengambil iktibar daripada kes-kes yang berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman di masa akan datang. Setelah 3 bulan berada di sini, akhirnya saya telah menamatkan tempoh latihan saya. Jujurnya rasa seperti tidak puas berada disini. Daripada mulanya tidak tahu apa-apa berkaitan bidang ini dan hanya mengikut saranan senior untuk menjalani praktikal di sini, sehinggalah terbit minat dan cinta saya terhadap bidang ini. Bukan kerana ingin melihat pelbagai adegan yang berlaku tetapi rasa ingin membantu pihak-pihak yang memerlukan.

    Seterusnya saya berhasrat untuk menyambungkan pengajian di peringkat sarjana muda pengkhususan dalam bidang undang-undang syariah. Setelah hampir setahun menunggu akhirnya saya ditawarkan untuk menyambung pengajian sarjana muda saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang yang saya minati iaitu syariah undang-undang dan perbandingan. Syukur yang teramat sangat apabila mengetahui keputusan tersebut, ini kerana saya tidak berjaya untuk panggilan pertama dan saya membuat rayuan. Akhirnya rayuan saya diterima. Maka bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar sarjana muda syariah dan undang-undang. 

    Ketika berada di UKM inilah saya betul-betul mendalami secara teori berkaitan dengan undang-undang syariah ini. Sekiranya ada seminar atau program berkaitan sudah pasti saya akan hadir. Saya juga berkenalan dengan seorang peguam syarie yang merupakan alumni di sini. Sebenarnya saya sudah mengenali beliau ketika menjalani praktikal di peringkat diploma dahulu, namun tidak pernah bertegur sapa. Melalui beliaulah saya mendapatkan pelbagai info program atau seminar dan beliau turut juga berkongsikan pengalaman kerjaya beliau kepada saya. Melalui beliau juga saya mengenali dengan lebih ramai  pengamal undang-undang syariah yang lain.

    Ketika buku ini sedang ditulis saya berada di tahun akhir pengajian saya di UKM.  Dalam tak sedar saya kini memasuki tahun ke 3 pengajian saya di sini. Bermula daripada tahun satu sebenarnya saya pernah menyimpan hasrat untuk menulis penulisan ilmiah supaya dapat dikongsikan kepada semua. Saya berhasrat untuk menulis artikel jurnal namun perancangan Allah itu adalah lebih baik dan saya menulis melalui buku ini dengan hasrat ia akan menjadi panduan untuk masyarakat.

    Akhir sekali, saya berharap pengajian saya di sini dapat dihabiskan dengan cemerlang. Seterusnya saya mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang pengamal undang-undang syariah. Ini hanyalah sekadar permulaan untuk perjalanan yang panjang nanti. Doakan saya berjaya dan buku ini akan  berterusan memberikan manfaat untuk masyarakat.

Hafizuddin Wahid
26 Julai 2020
5:50 pagi







Amaran

AMARAN

  1. E-book ini adalah hak cipta terpelihara penulis.
  2. Anda adalah dilarang sama sekali sama ada Mengubah, Mengedarkan atau Menjual E-book ini kepada pihak lain.
  3. Sebarang tindakan yang menyalahi etika penerbitan akan dikenakan tindakan undang-undang.
  4. Oleh itu, hendaklah melapor kepada pihak admin sekiranya menerima E-book ini tanpa melalui penulis atau mana-mana pengedar online yang sah.
  5. Tindakan anda amatlah dihargai bagi membanteras kegiatan yang tidak sihat sebegini.
  6. Jika anda memilikinya secara tidak sah, saya tidak menghalalkannya dunia dan akhirat.

        Ikhlas Daripada
        MUHAMMAD HAFIZUDDIN BIN WAHID

21 July 2020

Biodata Penulis


Muhammad Hafizuddin Bin Wahid dilahirkan pada 26 Januari di Seri Manjung Perak. Beliau mendapat pendidikan peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Kg. Dato’ Seri Kamaruddin dan melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

Seterusnya penulis memperolehi Diploma Syariah Islamiyyah daripada Universiti Sultan Azlan Shah dan meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang undang-undang dan perbandingan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penulis pernah menjalani latihan sebagai pelajar pelatih di Jabatan Kehakiman Syariah Perak dan juga turut mempunyai pengalaman selama 2 tahun dalam bidang pendidikan. Aktif dalam kegiatan pelajar dan kemasyarakatan sama ada di peringkat universiti atau NGO luar. Penulis juga sering kali menyertai program dan seminar undang-undang yang di anjurkan oleh pelbagai organisasi dan badan berkaitan.

Oleh kerana minat yang mendalam terhadap Undang-Undang syariah dan juga mempunyai hasrat untuk menyebarkan pengetahuan berkaitan Undang-Undang Syariah kepada masyarakat umum  maka penulis memulakan langkah pertamanya melalui penulisan buku ini. Semoga ianya akan menjadi manfaat buat semua.

2.8 Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Secara Tebus Talak

Iddah tiga kali suci bagi talak. Iddah satu kali suci bagi fasakh.