24 July 2020

Sebuah Catatan Pengalaman

Assalamualaikum W.B.T.
Pertamanya saya zahirkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T di atas terbitnya buku ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapa, para guru, para pengamal undang-undang yang lebih senior kerana membantu saya untuk menyiapkan buku ini.

    Perjalan penglibatan saya dalam bidang undang-undang khususnya berkaitan syariah ini bermula sekitar tahun 2017. Pada ketika itu saya berada di tahun akhir pengajian peringkat Diploma Syariah Islamiyyah di Universiti Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar. Sewaktu itu saya perlu menghantar permohonan untuk menjalani latihan industri ataupun menjadi pelajar praktikal bagi melengkapkan pengajian. Sepanjang 3 tahun pengajian di situ saya tidak mengetahui atau tidak mendapat pendedahan yang cukup berkaitan bidang undang-undang syariah di negara ini. 

    Pada mulanya saya ingin menghantar permohonan untuk latihan industri di sekolah-sekolah dek kerana minat terhadap bidang pengajaran dan secara jujurnya saya tidak mengetahui tentang bidang-bidang lain. Namun di saat-saat akhir sebelum menghantar permohonan tersebut, seorang senior pengajian saya cuba mengusulkan untuk saya menjalani latihan industri di Jabatan Kehakiman Syariah Perak. Beliau memberitahu saya bahawa terdapat pelbagai pengalaman yang tidak semua orang mampu miliki jika memilih untuk menjalani praktikal di sana. Pada ketika itu saya tidak terlalu memikirkannya dan terus menghantar permohonan tersebut kepada Jabatan Kehakiman Syariah Perak dan permohanan tersebut diterima.

    Saya telah diterima untuk menjalani latihan industri di Mahkamah Rendah Syariah Seri Manjung Perak. Hari pertama melapor diri tidak banyak yang dapat dilakukan selain daripada sesi suai kenal bersama para pegawai dan staff di mahkamah tersebut. Seterusnya hari berganti hari, pelbagai skop kerja  cuba saya fahami sebaik mungkin dek kerana tempoh praktikal ini bukanlah lama. Saya perlu ambil segala input dan pengetahuan sepanjang berada di sini.

    Pelbagai kes yang saya dapat lihat sepanjang berada disini. Antaranya kes perceraian, permohonan sijil faraid, kes-kes jenayah syariah dan tak lupa juga kes hadhanah iaitu berkaitan dengan hak penjagaan anak yang mana pasti akan ada kisah sedih dan air mata mengalir disebaliknya. Inilah sebahagian daripada asam garam dalam pahit manis rumah tangga. Kes-kes yang didaftarkan di mahkamah ini pasti akan mengusik jiwa apatah lagi saya adalah seorang pelajar yang masih muda pada ketika itu. Walaupun hanya sekadar pelajar praktikal namun apabila melihat dengan mata dan kepala sendiri situasi kes-kes tersebut, kadangkala tanpa sedar mata saya turut berkaca. 

    Pernah pada suatu ketika ada pasangan yang datang untuk menyelesaikan proses perceraian mereka, namun apa yang membuatkan saya sedikit sebak apabila suami kepada wanita itu datang ke mahkamah dalam keadaan bergari dan memakai baju banduan sambil di iringi oleh warden penjara. Lelaki tersebut hadir dengan rela hati untuk melafazkan cerai kepada isterinya oleh kerana beliau akan ditahan di penjara untuk tempoh yang lama. Namun saat yang paling terkesan bagi saya adalah ketika mana dua orang anak lelaki pasangan tersebut berusia dalam lingkungan 10 dan 13 tahun lengkap berjubah dan beserban putih datang memeluk dan mencium pipi ayah mereka yang dalam keadaan bergari. Pagi itu merupakan pagi yang betul-betul menginsafkan buat saya.

    Di sebalik kes yang memilukan ada juga kes yang berjalan dalam keadaan tegang. Pernah ada satu pasangan muda hadir untuk sebutan bagi kes perceraian. Setelah berjumpa dengan pegawai di dalam biliknya pasangan tersebut keluar dan bergaduh di hadapan kaunter pendaftaran. Mereka turut saling ugut mengugut sehingga terpaksa ditenangkan kedua-duanya oleh polis yang bertugas di mahkamah ini. Tidak pasti apa yang berlaku antara mereka namun situasi itulah juga menjadi sebahagian daripada pengalaman saya sebagai pelajar praktikal.


    Di sinilah tempah saya berlajar bagaimana untuk berkomunikasi dan berurusan dengan orang yang datang dalam berbagai-bagai keadaan emosi sama ada sedih, marah dan tak kurang juga ada yang sombong dan menunjukkan lagak pandai. Di sini juga saya mengambil iktibar daripada kes-kes yang berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman di masa akan datang. Setelah 3 bulan berada di sini, akhirnya saya telah menamatkan tempoh latihan saya. Jujurnya rasa seperti tidak puas berada disini. Daripada mulanya tidak tahu apa-apa berkaitan bidang ini dan hanya mengikut saranan senior untuk menjalani praktikal di sini, sehinggalah terbit minat dan cinta saya terhadap bidang ini. Bukan kerana ingin melihat pelbagai adegan yang berlaku tetapi rasa ingin membantu pihak-pihak yang memerlukan.

    Seterusnya saya berhasrat untuk menyambungkan pengajian di peringkat sarjana muda pengkhususan dalam bidang undang-undang syariah. Setelah hampir setahun menunggu akhirnya saya ditawarkan untuk menyambung pengajian sarjana muda saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang yang saya minati iaitu syariah undang-undang dan perbandingan. Syukur yang teramat sangat apabila mengetahui keputusan tersebut, ini kerana saya tidak berjaya untuk panggilan pertama dan saya membuat rayuan. Akhirnya rayuan saya diterima. Maka bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar sarjana muda syariah dan undang-undang. 

    Ketika berada di UKM inilah saya betul-betul mendalami secara teori berkaitan dengan undang-undang syariah ini. Sekiranya ada seminar atau program berkaitan sudah pasti saya akan hadir. Saya juga berkenalan dengan seorang peguam syarie yang merupakan alumni di sini. Sebenarnya saya sudah mengenali beliau ketika menjalani praktikal di peringkat diploma dahulu, namun tidak pernah bertegur sapa. Melalui beliaulah saya mendapatkan pelbagai info program atau seminar dan beliau turut juga berkongsikan pengalaman kerjaya beliau kepada saya. Melalui beliau juga saya mengenali dengan lebih ramai  pengamal undang-undang syariah yang lain.

    Ketika buku ini sedang ditulis saya berada di tahun akhir pengajian saya di UKM.  Dalam tak sedar saya kini memasuki tahun ke 3 pengajian saya di sini. Bermula daripada tahun satu sebenarnya saya pernah menyimpan hasrat untuk menulis penulisan ilmiah supaya dapat dikongsikan kepada semua. Saya berhasrat untuk menulis artikel jurnal namun perancangan Allah itu adalah lebih baik dan saya menulis melalui buku ini dengan hasrat ia akan menjadi panduan untuk masyarakat.

    Akhir sekali, saya berharap pengajian saya di sini dapat dihabiskan dengan cemerlang. Seterusnya saya mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang pengamal undang-undang syariah. Ini hanyalah sekadar permulaan untuk perjalanan yang panjang nanti. Doakan saya berjaya dan buku ini akan  berterusan memberikan manfaat untuk masyarakat.

Hafizuddin Wahid
26 Julai 2020
5:50 pagi







No comments:

Post a Comment

2.8 Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Secara Tebus Talak

Iddah tiga kali suci bagi talak. Iddah satu kali suci bagi fasakh.