Seorang lelaki atau suami telah diberikan kuasa untuk menjatuhkan talak kepada dirinya. Walaubagaimanapun ini bukan bermaksud si isteri tidak mempunyai apa-apa hak untuk mengajukan pembubarkan perkahwinan. Dalam Islam isteri boleh meminta untuk perkahwinan dibubarkan melalui dua kaedah iaitu secara fasakh ataupun secara tebus talak (Mahmood Zuhdi 1989)
Dari sudut bahasa tebus talak atau khuluk bermaksud tanggal atau menghilangkan (al-Zuhayli 1989). Maksud ini berasal daripada ''Khala'a al-thauba" iaitu menaggalkan pakaian kerana isteri diumpamakan sebagai pakaian bagi suami dan begitu juga sebaliknya (Zaleha & Raihanah 2002). Ini juga bertepatan dengan firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Baqarah melalui ayat 187:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ
Maksudnya: mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka.
Zaini Nasohah 2011 menjelaskan maksud tanggal ataupun menghilangkan di sini ialah seorang lelaki melepaskan isterinya atau seorang perempuan melepaskan diri daripada suaminya dalam konteks pembubaran ikatan perkahwinan.
Secara asasnya dapat difahami bahawa seorang isteri boleh melepaskan dirinya daripada ikatan perkhawinan bersama suami melalui kaedah tebus talak ataupun khuluk.
No comments:
Post a Comment