24 July 2020

1.1 Pendahuluan

Pernikahan merupakan salah satu ibadah yang di tuntut dalam Islam. Melaksanakan pernikahan juga bererti kita mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Matlamat utama yang ingin dicapai melalui sesebuah perkahwinan adalah pembentukan sebuah keluarga bahagia yang penuh dengan kasih sayang di dalamnya. Melalui perkahwinan juga bilangan umat Islam dapat ditambah seterusnya melahirkan masyarakat yang soleh serta solehah.
     Walaubagaimanapun, dalam melayari sesebuah bahtera rumah tangga akan ada geloranya. Bukan semua perkahwinan itu berakhir dengan keindahan. Pelbagai masalah yang tidak diduga juga boleh terjadi dalam sesebuah perkahwinan. Kadangkala masalah tersebut berjaya diatasi, dan kadangkala ada juga mereka yang gagal menanganinya. Bilamana perkara ini terjadi sudah tentu ia merupakan tempoh yang sukar bagi pasangan yang tidak bernasib baik ini. Apabila sudah menemui jalan buntu untuk menyelamatkan rumah tangga maka selalunya perceraian merupakan jalan yang terakhir.
        Islam sentiasa menyediakan jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah. Bagi sesebuah perkahwinan yang bermasalah apabila sudah tiada lagi jalan penyelesaian untuk berbaik ditemukan maka perceraian adalah sesuatu yang dibenarkan. Hadith Rasulullah S.A.W:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” [Riwayat Ibn Majah. Jil.2. No. 2018]
Menerusi hadith ini dapat difahami bahawa secara dasarnya perceraian itu adalah sesuatu yang dibenarkan. Namun begitu, ia juga merupakan perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah s.w.t.  s.w. Sebolehnya sesebuah perkahwinan yang bermasalah itu perlu dicuba sedaya mungkin untuk diselamatkan sebelum beralih kepada perceraian.
Dalam Islam terdapat beberapa bentuk perceraian yang ada antaranya perceraian menerusi talak, fasakh, ta’liq, li’an dan secara tebus talak. Umum mengetahui bahawa kuasa talak itu adalah terletak pada suami. Namun Islam juga membenarkan untuk seorang isteri meminta untuk diceraikan oleh suaminya iaitu melalui perceraian secara tebus talak.
Perceraian secara tebus talak ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat. Walaubagaimanapun mungkin kes-kes perceraian secara tebus talak seperti ini jarang diketahui menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mengetahui dan memahami dengan jelas berkaitan maksud dan proses-prosesnya di Mahkamah Syariah.
Oleh itu, penulisan ini akan menjelaskan berkaitan definisi dan dalil-dalil serta hukum berkaitan dengan tebus talak, peruntukan dan prosedur undang-undang bagi kes-kes tebus talak di Mahkamah Syariah dan juga kesan-kesannya. Disertakan juga contoh-contoh kes berkaitan tebus talak di Mahkamah Syariah sebagai rujukan pembaca.



No comments:

Post a Comment

2.8 Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Secara Tebus Talak

Iddah tiga kali suci bagi talak. Iddah satu kali suci bagi fasakh.