Setiap sesuatu hukum yang ada di dalam syariat mestilah mempunyai dalil yang tertentu. Begitu juga bagi hukum tebus talak. Dalil daripada ayat al-Quran yang berkaitan tebus talak telah dinyatakan melalui firman Allah s.w.t di dalam Surah Al- Baqarah ayat 229:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya:
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Secara umumnya ayat ini menyebut berkaitan dengan perihal talak. Dinyatakan bahawa talak yang boleh dirujuk kembali setelah dijatuhkan hanyalah sebanyak dua kali. Seterusnya disebutkan juga bahawa suami tidak boleh mengambil harta yang telah diberikan kepada isterinya setelah diceraikan kecuali dengan sebab-sebab yang tertentu.
Di sinilah bahagian yang menyentuh berkaitan dengan keharusan tebus talak. Apabila suami atau isteri itu bimbang atau khuatir tidak dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab seperti yang digariskan syariat maka dibenarkan untuk si suami mengambil bayaran daripada si isteri sebagai balasan untuk dijatuhkan talak kepadanya.
No comments:
Post a Comment